Bismillah. Salam~
Allhuma Unsuril Islam wa A’izzal Muslimin..
SAVE PALESTINE!!!
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(09 Januari 2009 / 12 Muharram 1430H)
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang
dikasihi sekelian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT
dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan
menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan
hidup di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan memperkatakan
khutbah bertajuk: "TANGISAN GAZA ".
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Pada hari yang mulia ini, mimbar ingin menarik perhatian kita semua
mengenai penderitaan rakyat Palestin. Pada masa ini wilayah Palestin
semakin sempit hanya tinggal ’sekangkang kera’ iaitu semenanjung Gaza
dan Tebing Barat. Umat Islam Palestin semakin terhimpit dan terhapus
di bumi Palestin. Hari ini genap hari ke-14, di mana beribu-ribu
orang Palestin terkorban dan tercedera.
Kekejaman dan keganasan Israel ke atas Palestin sejak abad ke-20 dan
hingga kini, mengingatkan kita kepada keganasan Yakjuj dan Makjuj
yang disebutkan dalam al-Qur’an. Menurut Doktor Ali Shariati, pakar
sosiologi dan penggerak revolusi Iran menyatakan bahawa apa yang
dimaksudkan Yakjuj dan Makjuj adalah merujuk kepada kuasa Barat iaitu
Amerika Syarikat dan Yahudi.
Profesor Dr. Muhammad Sayyid Tantawi, Syeikhul Azhar telah
menggambarkan sifat keji bangsa ini melalui bukunya ‘Israel fi al-
Qur’an wa as-Sunnah’, bahawa Israel sebagai bangsa penjenayah kejam
yang tidak membezakan orang tua, wanita, kanak-kanak, masjid, rumah
ibadat, tempat awam dan sebagainya. Israel juga terkenal sebagai
bangsa penjenayah yang kuat memusuhi Islam dan Arab. Golongan ini
bukan sekadar ingin menguasai Palestin, malah Jordan, Syria, Lebanon,
Iraq, semenanjung Sinai dan termasuklah Madinatul Munawwarah.
Sifat keji Bani Israel ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah al-
Maidah ayat 78:
Maksudnya: " Orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di
dalam Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni
Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan
menceroboh."
Muslimin Yang DiMuliakan Allah,
Kita amat kesal atas sikap tidak bertanggungjawab Amerika Syarikat
yang menyokong jenayah keganasan yang dilakukan oleh kumpulan ini.
Kita juga kecewa atas sikap negara-negara kuasa besar lain yang
berdiam diri apabila melibatkan kepentingan Islam dan umat Islam, dan
begitu pro-aktif apabila isu-isu yang menyentuh kepentingan
masyarakat yang bukan Islam.
Adalah satu hakikat bahawa Islam dan ummah tidak boleh bergantung
kepada simpati dan bantuan golongan kuffar. Oleh kerana itulah Allah
SWT memberikan kita peringatan bahawa golongan kuffar tidak sekali-
kali akan melindungi Islam dan ummah melainkan mereka dijadikan
sanjungan dan pujaan.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 120:
Maksudnya: " Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan
bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut
agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada
mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk
yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa
nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan
kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari
Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan
kepadamu."
Muslimin Yang DiMuliakan Allah,
Islam mengajar kita bahawa umat Islam adalah bersaudara dan wajib
dibela. Amatlah salah, kita membiarkan saudara kita di Palestin
menderita, tanpa kita melakukan apa-apa. Sedarlah, bahawa kita bukan
sahaja wajib membela dan meringankan penderitaan saudara kita di
Palestin, tetapi kita sebagai umat Islam juga wajib turut sama
mempertahankan kesucian Baitul Maqdis kerana ia adalah kiblat pertama
dalam syiar agama kita. Baitul Maqdis juga adalah tempat Rasulullah
SAW Israk dan Mikraj, ia juga merupakan masjid kedua dibina di bumi
ini dan ia juga tempat yang diberkati dan dilipatgandakan pahala
serta diampunkan dosa.
Justeru itu, mimbar ini menyeru kepada seluruh umat Islam dan rakyat
Malaysia, marilah kita membantu meringankan penderitaan saudara kita
di Palestin dengan sama-sama mengambil tindakan berikut:
Pertama: menyalurkan bantuan kewangan kepada rakyat Palestin yang
sedang menderita melalui badan-badan diiktiraf oleh kerajaan yang
akan menyalurkannya melalui Kementerian Luar Negeri atau Wisma Putra;
Kedua: bersama-sama memboikot dan memulau perkhidmatan seperti
perbankan, insuran dan dan barangan seperti produk makanan, syarikat
minyak atau yang mempunyai kepentingan dengan Amerika dan Israel;
Ketiga: negara-negara OIC dan lain-lain negara serta umat Islam
patut menghentikan dan mengelak dari terus menggunakan mata wang
dolar dalam sebarang urusan perdagangan;
Keempat: menginsafi akan bahaya perpecahan kepada ummah dan
perlunya tindakan segera dalam menyatupadukan ummah di kalangan
negara Islam seluruh dunia; dan
Kelima: tanpa jemu, kita hendaklah memastikan bahawa penjenayah
perang Gaza di bawa kemuka pengadilan dan terus memburu mereka walau
di mana juga.
Muslimin Yang DiMuliakan Allah,
Mungkin sekali imbas amat sukar untuk mengalahkan Israel dan
sekutunya, kerana memiliki peralatan ketenteraan dan senjata nuklear
yang hebat kecuali dengan kuasa Allah. Oleh itu, mimbar ini juga
menyeru masjid-masjid seluruh negara mengadakan solat sunat hajat dan
bacaan qunut nazilah, memohon doa kehadrat Allah SWT agar dikurniakan
kepada pejuang Palestin dan Hamas khususnya, kekuatan semangat dan
kecekalan hati serta kemenangan dalam menghadapi kezaliman Israel.
Seluruh umat Islam juga diseru agar sama-sama mendo’akan keselamatan
dan kesejahteraan rakyat Palestin.
Maksudnya: "Wahai orang yang beriman! Mahukah aku tunjukkan sesuatu
perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak
terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya,
serta berjuang membela agama Allah dengan harta benda dan diri kamu;
yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak
mengetahui (hakikat yang sebenarnya). "
Free Palestine